Wednesday, May 2, 2012

Menu Sihat Dengan Buah Belimbing


Khasiat Buah Belimbing



Buah belimbing besi  ini dipanggil Averrhoa Carambola dalam bahasa Latin. Buah belimbing besi ini dikatakan berasal daripada Sri Lanka dan juga dikepulauan Asia Tenggara terutamanya Malaysia dan Indonesia. Buah belimbing besi ini juga terdapat dalam dua jenis iaitu belimbing besi yang mempunyai rasa manis (Averrhoa Carambola) dan juga belimbing sayur ia dipanggil belimbing buluh (Averrhoa Bilimbi). Buah belimbing besi yang dipercayai mempunyai rasa yang cukup manis ini juga dikatakan mengandungi sumber vitamin C yang baik, juga zat besi dan zat kapur.


Dalam bahasa Inggeris buah ini dipanggil sebagai starfruit ini kerana bentuknya yang sama seperti bintang apabila dihiris melintang. Dengan rasanya yang cukup manis dan menyegarkan dengan aroma khas yang boleh membangkitkan selera. Buah belimbing besi ini juga mempunyai nilai ekonomi yang sangat tinggi. Belimbing yang masih muda berwarna hijau muda dan akan berubah warna kekuningan apabila ianya sudah tua atau sudah masak. Buah belimbing besi ini dikenali dengan cirri-cirinya yang berbentuk besar, warnanya yang menarik, seratnya yang halus, dan sangat bersari dan rasanya yang sangat manis dan segar.
Kajian Klinikal di School of Pharmaceutical Scienses, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan beberapa kajian, dan telah membuktikan bahawa buah belimbing mampu mengurangkan tekanan darah. Kajian saintifik juga telah menunjukkan bahawa buah belimbing berbentuk bintang ini juga mempunyai khasiat perubatan selain dari kaya dengan vitamin.
Pokok buah belimbing besi ini dikatakan dapat berbunga atau berbuah sepanjang tahun, ianya sama juga seperti buah belimbing buluh. Buah belimbing buluh pula mempunyai rasa yang masam dan ianya digunakan untuk masakan, ianya untuk memberi rasa asam pada makanan.

Buah belimbing besi ini kebiasaanya dimakan segar, tetapi ada juga sebahagianya diproses dan dijadikan pelbagai jenis produk seperti minuman kordial, jus, jem, gula-gula buah, sos biah, buah kering, hirisan untuk dicampurkan dalam sirap atau jus, halwa dan pelbagai lagi. Buah belimbing yang masih muda juga boleh dijadikan sebagai jeruk, disamping itu ia adalah sumber nutrisi yang baik. Buah berlimbing besi muda juga digunakan untuk pencegahan dan juga dijadikan terapi untuk pelbagai penyakit, antaranya ialah, menurunkan tekanan darah tinggi, antioksida, antikanser, melancarkan pencernaan, menurunkan  tahap kolesterol, dan juga membersihkan usus. Pada dinding sel belimbing terdapat pectin yang merupakan bahan pembentukan gel di dalam usus. Terbentuknya gel tersebut mempunyai pengaruh untuk menurunkan kolesterol. Dalam hal ini pectin mampu mengikat kolesterol dan asid hempedu dalam usus serta mendorong pengeluaranya.
Satu kajian makmal menunjukkan jus belimbing yang diberikan kepada tikus semasa kajian,tekanan darah binatang tersebut telah turun diikuti kenaikan, kemudian menurun semula dengan pelahan. Dengan itu, pengkaji telah membuktikan dengan memakan buah belimbing sekerapnya dapat membantu mereka yang mengidap tekanan darah tinggi. Buah ini dapat membantu melawan kesan pemakanan terproses yang menyumbangkan kepada kenaikan tekanan darah tinggi. Dalam kajian lain USM juga telah menunjukkan jus belimbing mempunyai sifat-sifat antibakteria seperti staphylococcus penyebab beberapa penyakit seperti indigesi dan masalah kulit.


Air perahan buah belimbing dapat mencegah tekanan darah tinggi agar berada dalam keadaan yang normal. Penghidap tekanan darah tinggi juga boleh minum air parutan buah belimbing setiap dua kali sehari. Buah belimbing yang cukup dan setengah matang diparut halus, kemudian diperah airnya lebih kurang dalam satu gelas, dan diminum setiap hari diwaktu pagi selama sebulan. Ianya dikatakan dapat menstabilkan tekanan darah tinggi dan akan menjadikan ianya normal apabila seseorang itu rajin memgamalkan minum air belimbing. Tetapi jangan sekali-kali mencampurkan air perahan belimbing dengan gula pasir atau sirap kerana ia akan menimbulkan kesan sebaliknya.

Di India buah belimbing yang masak digunakan untuk menghentikan pendarahan. Sementara buahnya yang telah dikeringkan digunakan untuk mengurangkan demam panas. Buah yang telah diawet pula digunakan oleh masyarakat India untuk meredakan cirit-birit dan mabuk kerana pengambilan alkohol berlebihan. Minyak yang diekstrak dari buah dijadikan ubat mengubati penyakit mata. Di Negara Brazil pula pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang dan pundi kencing sering dinasihatkan agar mengambil buah belimbing. Masyarakat Negara itu juga percaya bahawa buah tersebut baik untuk pesakit eczema. Chinese materia medical ada menyatakan bahawa rebusan buah dan daun belimbing sangat bagus diminum untuk mengatasi masalah muntah-muntah. Daunnya diramas dan diletakkan di atas dahi untuk menghilangkan sakit kepala.

 Buah belimbing besi juga menpunyai vitamin A yang tinggi diantara buah-buahan tempatan Malaysia. Dalam seriap 100g mempunyai 155mcg vitamin A. Ia juga mengandungi vitamin B (thiamine, riboflavin), mineral kalsium dan juga zat besi. Protein, lemak dan karbohirat juga ada dalam bilangan yang kecil.