Thursday, March 8, 2012

Teori Sel Lemak



Adakah lemak yang anda makan semalam akan terus menempek membentuk lemak dalam badan? Apakah penurunan berat badan yang banyak bererti jumlah sel lemak anda juga berkurangan dengan banyak?


Masih ingat dengan entri aku dahulu yang bertajuk “Apakah jenis tubuh badan anda“? Dalam entri tersebut aku ada membincangkan bahawa tubuh badan manusia secara amnya boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu Endormoph, Mesomorph, dan Ectomorph. Apakah perbezaan antara ketiga-tiga jenis tubuh badan ini? Jika kita ulangkaji kembali topik tersebut, secara genetik jenis tubuh badan Endomorphlah yang memiliki lebih banyak bilangan sel lemak berbanding Mesomorph dan Ectomorph. Disebabkan faktor ini juga mereka yang memiliki ciri-ciri Endomorph lebih mudah untuk menyimpan lemak andaikata berlakunya pengambilan kalori yang lebih untuk jangka masa panjang.

Tunggu seminit, Sel lemak? Apakah bendanya itu?
Sel lemak, atau nama sainsnya adipocyte atau lipocyte merupakan sel hidup yang tinggal di dalam badan kita. Sel hidup? Ya, anda tidak salah mendengar, mereka memang wujud dan hidup dalam semua tubuh badan manusia, tidak mengira kaum, bangsa, jantina, kecil, dewasa, selagi namanya itu manusia dan apa-apa sahaja haiwan yang jatuh di bawah kategori animal kingdom, maka di dalam tubuh mereka WAJIB akan ada apa yang dikenali sebagai sel lemak. Ia merupakan komponen penting dalam kemandirian benda hidup yang jatuh di bawah kategori animal kingdom.
Setiap sel di dalam badan manusia dicipta pasti ada fungsinya. Tahukah anda apa fungsi sel lemak dalam badan manusia? Sel lemak berfungsi sebagai ‘stor’ yang menyimpan segala lebihan tenaga yang terlebih (kalori masuk lebih banyak dari kalori keluar) untuk disimpan sebagai tenaga jangka masa panjang. Secara umum, badan manusia menyimpan lebihan tenaga dalam dua bentuk iaitu
  1. Glycogen – sumber tenaga jangka masa pendek – di simpan dalam sel otot dan hati
  2. Lemak – sumber tenaga jangka masa panjang – majoriti di simpan dalam sel lemak
Kini anda mungkin sudah dapat membezakan apakah itu lemak dan apa itu sel lemak – kedua-duanya adalah 2 entiti yang berlainan tapi saling berkait rapat antara satu sama lain. Aku akan huraikan dengan lebih lanjut perbezaan antara keduanya dalam senario-senario yang akan dibincangkan selepas ini.
2 jenis sel lemak: Putih dan Perang
Secara umum, terdapat 2 jenis sel lemak di dalam badan kita, iaitu sel lemak putih dan sel lemak perang. Sel lemak putih mendapat jolokan ‘putih’ disebabkan fisiologinya yang majoritinya terdiri dari lipid  separa cecair yang mana sebahagian besar terdiri daripada triglycerides dan cholesteryl ester. Fungsi utamanya pula adalah sebagai penebat haba dan juga pasti, sebagai ‘stor’ penyimpanan lemak. Sel lemak perang pula mendapat jolokan ‘perang’ kerana fisiologinya yang terdiri dari banyak mitochondria (banyak zat besi dalam mitochondria yang membuatkan ianya perang) – oleh sebab itu fungsinya adalah lebih kepada menghasilkan haba kepada tubuh badan.
RajahSel lemak perang (kanan) mengandungi lebih banyak mitochondria (M), manakala Sel lemak putih (kiri) mempunyai ruang penyimpanan lemak yang lebih besar (LV – Lipid Vacuole), ini membuatkan saiznya menjadi lebih besar. Teori sel lemak yang bakal dibincangkan sebentar lagi lebih merujuk kepada sel lemak putih kerana nisbah bilangannya yang jauh lebih banyak berbanding sel lemak perang dalam badan manusia.
Bagaimana sel lemak terhasil?
Apabila membicarakan bagaimana satu-satu sel lemak itu terhasil, maka kita sebenarnya sudah selangkah membicarakan tentang teori sel lemak. Teori sel lemak menyatakan bahawa penghasilan sel lemak terbahagi kepada 3 peringkat, iaitu
  1. pertama, sedari kita dalam rahim ibu lagi sehinggalah kita berumur 2 tahun,
  2. kedua, dari umur 2 tahun hinggalah ke umur 7 tahun, dan
  3. ketiga, dari umur 7 tahun hinggalah kepada fasa di mana kita tidak boleh menjadi tinggi dan membesar lagi, yakni pertumbuhan kita dah capai plateau (usia dewasa, anggaran 20an dan ke atas ).
Pembentukan sel lemak pada peringkat pertama berlaku seawal pembentukan bayi dalam rahim ibu lagi, dan ini adalah normal bagi semua manusia. Kebanyakannya didorong oleh faktor genetik, terutamanya mereka yang awal-awal lagi telah dilahirkan sebagaiEndomorph. Sebagai contoh, bayi A (baru lahir) mempunyai lebih banyak sel lemak berbanding bayi B (juga baru lahir) kerana ibu bapa bayi A masing-masing tembam orangnya (Endomorph), sedangkan ibu bapa bayi B kurus-kurus orangnya.
Masuk peringkat kedua, apabila seseorang kanak-kanak yang sedang membesar mengambil terlalu banyak kalori di zaman kanak-kanaknya, maka kalori yang berlebihan itu akan ditukarkan kepada lemak, lalu disimpan di dalam sel-sel lemak sedia ada. Sel-sel lemak sifatnya lebih dinamik berbanding sel otot, yang mana ia boleh mengembang dan membesar mengikut saiz lemak yang tersimpan di dalamnya. Untuk memahami fenomena ini, anda boleh membayangkan bagaimana rupanya sebiji belon yang mengembang apabila diisi dengan air. Jangan terkejut apabila satu sel lemak boleh mengembang berkali-kali ganda lebih besar berbanding saiz asal, sekaligus membuatkan badan anda turut kelihatan ‘mengembang’ (gemuk). Apabila sel lemak telah mengembang terlalu besar, kira-kira 4 kali ganda berbanding saiz asal, ia akan mula menghantar signal kepada nukleusnya untuk proses seterusnya iaitu untuk membahagi secara mitosis (satu sel lemak akan membahagi menjadi 2 sel lemak, ini merupakan salah satu cara bagaimana bilangan sel lemak bertambah dalam badan).
Bolehkah Sel lemak dihapuskan ketika menurunkan berat badan?
Proses penambahan sel lemak ini berterusan apabila kanak-kanak tersebut terus menerus disumbat dan disumbat dengan lebihan kalori, dan dari tahun ke tahun (hingga habis peringkat ketiga, yakni dewasa) sel lemak yang terkumpul menjadi semakin banyak, hanya untuk mengimbangi permintaan badan yang memerlukan lebih banyak ruang penyimpanan lemak. Selagi individu tersebut berada pada ketiga-tiga peringkat yang dinyatakan tadi, maka tubuh akan terus menghasilkan sel-sel lemak yang baru untuk menampung keperluan ini.
Namun apa yang menakutkan di sini ialah, sel-sel lemak akan sentiasa boleh dihasilkan jika terdapatnya keperluan, TETAPI sel-sel lemak itu angkanya tidak akan berkurang meskipun anda sudah kurus! Apabila seseorang menurunkan berat badan, badan akan menggunakan “tenaga simpanan jangka masa panjang ini” untuk mengimbangi kembali defisit kalori yang dicapai menerusi diet kurang kalori dan senaman. Tetapi anda harus ingat, yang diambil oleh badan itu hanyalah lemak yang tersimpan dan bukannya sel lemak itu sendiri – sel lemak itu benda hidup, bukannya sumber tenaga tubuh badan, justeru itu ia seharusnya kekal dalam badan.
Untuk memahami konsep ini dengan lebih mudah, senario berikut mungkin membantu. Katakan ada 2 orang individu, seorang bernama Rosli, obese sejak remaja dan memiliki kira-kira 40billion sel lemak, manakala seorang lagi bernama Raju, langsung tidak pernah obese (never obese) dan memiliki kira-kira 20billion sel lemak dalam badannya. Andaikata Rosli berjaya menurunkan berat badan dari 100kg kepada 50kg (reduced obese, penurunan berat 50%), maka adakah beliau kini mempunyai 20billion sel lemak sama seperti Raju? (penurunan bilangan sel lemak sebanyak 50%)? Teori sel lemak sekali lagi menyatakan itu tidak benar, yang kempis itu hanya saiz sel lemak tersebut, sedangkan beliau masih memiliki 40billion sel lemak di dalam badannya, BUKAN 20billion!
Dengan bilangan sel lemak yang banyak sebegini, bila-bila masa sahaja badan boleh memberikan arahan untuk menyimpan kembali lemak ke dalam ‘sel-sel lemak yang kosong’ andaikata terdapatnya pengambilan kalori berlebihan. Ini merupakan sebab utama mengapa seseorang yang berjaya menurunkan berat badan akan mengalami pertambahan berat mendadak sekiranya beliau kembali kepada tabiat buruk ketika gemuk.
Lalu bagaimana untuk mencegah sel lemak dari bertambah/mengembang?
2 strategi boleh diterapkan di sini, salah satunya adalah pencegahan sedari usia awal lagi. Penambahan sel lemak yang melampau haruslah dicegah ketika anak itu masih kecil lagi (peranan ibu bapa amat penting dalam mencorak diet dan tubuh badan anak-anak, kerana pembentukan sel lemak hanya berlaku ketika zaman kanak-kanak hingga dewasa).
Strategi kedua pula lebih kepada mencegah sel lemak sedia ada untuk kembalimengembang (justeru membuat kita kelihatan kembali gemuk). Buat mereka yang pernah obese seperti encik susu sejat ini pun tidak mustahil untuk menjadi obese kembali andaikata tabiat lama itu diulangi. Apa yang penting di sini, bukan perubahan badan yang perlu difikirkan, tetapi perubahan gaya hidup. Apabila anda merubah gaya hidup, dengan izin Tuhan percayalah rupa badan akan pasti turut berubah sama. Jangan sesekali salahkan sel lemak, tetapi salahkan diri sendiri yang tak pernah beringat.
Fakta menarik tentang sel lemak
  1. Proses penyimpanan lemak ke dalam sel lemak merupakan sebahagian dari prosesLipogenesis.
  2. Proses penyingkiran lemak dari sel lemak merupakan sebahagian dari proses Lipolysis.
  3. Setiap manusia mempunyai bilangan sel lemak yang berbeza.
  4. Tak mustahil untuk seorang yang kurus mempunyai bilangan sel lemak lebih banyak dari seorang yang gemuk – gemuk atau kurus seseorang bergantung kepada kedua-duajumlah bilangan dan saiz sel lemak.
  5. Seorang wanita yang mempunyai peratusan lemak badan sebanyak 20% mempunyai tenaga penyimpanan jangka masa panjang (lemak) yang cukup untuk sebulan.
  6. Secara purata, seorang dewasa mempunyai kira-kira 30billion sel lemak, yang mana bersamaan kira-kira 13.5kg.
  7. 10% daripada sel lemak yang anda miliki akan mati setiap tahun, dan digantikan secara automatik oleh tubuh badan dengan sel lemak yang baru. Ini membuatkan bilangan sel lemak dalam badan anda tetap sama dan tidak pernah berkurang.
  8. Kajian terkini (Tchoukalova et al, 2010) mula menunjukkan meskipun seseorang dewasa itu sudah melepasi ketiga-tiga fasa pembentukan sel lemak, namun pembentukan/penambahan sel lemak untuk bahagian bawah badan (perut, peha, punggung) masih berlaku apabila berlaku kegemukan. Sel lemak untuk bahagian atas badan masih mengikut teori sel lemak yang asal (tidak bertambah meskipun berlaku kegemukan ketika dewasa).
  9. Kajian Tchoukalova tersebut sekaligus mempersoalkan teori sel lemak sedia ada, apakah bilangannya akan terus bertambah meskipun pembesaran seseorang sudah mencapai plateau? Walaubagaimanapun, hanya satu sahaja jawapan yang pasti setakat ini – BILANGAN SEL LEMAK TIDAK AKAN SESEKALI PERNAH BERKURANG DALAM BADAN ANDA, TIDAK KIRA APA YANG ANDA LAKUKAN, TERMASUKLAH MENURUNKAN BERAT BADAN DENGAN CARA PEMBEDAHAN.




Sumber petikan daripada : http://sususejat.com/teori-sel-lemak/

Pentingnya Pemeriksaan Sendiri dan Penjagaan Payudara dengan Urutan


Barah payu dara merupakan pembunuh no 1 kanser di kalangan wanita di Malaysia, malah di dunia sekali pun. Tapi masih ramai di kalangangan masyarakat kita tidak sedar tentang perkara ini. Ramai yang tiba di hospital, sudah pun berada di tahap yang sukar untuk diselamatkan. Perkara pertama yang kita dengar, pendidikan. Kedua, disebabkan fasiliti di pihak hospital sendiri.
Tapi walaubagaimanapun, kita tak boleh nak kawal sekiranya hospital kerajaan lambat ke bagi servis yang tidak bagus ataupun tidak berjaya merawat kita sepenuhnya. Sebaiknya, kita tidak bergantung kepada orang lain dan mulakan dengan diri sendiri dahulu. Apa yang anda boleh lakukan? Mencegah. Itu yang harus kita lakukan.
Kanser payudara sering menyerang golongan wanita di dalam golongan 35 tahun ke atas. Tetapi golongan muda tidak harus lepas tangan.  Anda harus mula belajar untuk memeriksa payu dara anda supaya anda tidak menyesal kemudian hari. Di hospital ramai juga yang masuk ke hospital kerana terdapat benjolan di bahagian payu dara mereka. Walaupun peratus  kanser   payu dara adalah rendah, tetapi ia membantu untuk anda mengenal pasti sekiranya terdapat benjolan di payu dara anda. Sekaligus benjolan tersebut boleh dibuang oleh pakar bedah.
Golongan lelaki pula jangan fikir anda tidak boleh kena. Anda juga boleh mengalami  kanser  payu dara, tetapi peratusnya adalah kecil. Sekitar 1% sahaja. Video di bawah boleh membantu anda bagaimana untuk memeriksa secara sendiri payu dara anda. Anda boleh lakukannya di rumah atau di mana-mana dan sebaiknya dilakukan di hadapan cermin.

Sumber petikan daripada : http://psipum.org/pentingnya-pemeriksaan-sendiri-payudara/

Wednesday, March 7, 2012

Jintan Hitam (Habatus Saudah): Penyembuh Segala Penyakit





عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ الله عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: “فِيْ الحَبَّة السَوْدَاء شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَّا السَامَ
Dari Abu Hurairah RA katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda :‘Pada habbatus sauda’ terdapat ubat bagi segala penyakit, kecuali as-sam (maut/mati). (HR. Bukhari & Muslim)

عَلَيْكُمْ بِهذِهِ الحَبَّةَ السَوْدَاءِ فَإِنَّ فِيْهَا شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلاَّ السَّامَ وَالسَّامُ اْلمَوْتُ 
“Tetaplah dengan habbatus sauda’ kerana sesungguhnya ia mengandungi ubat bagi segala penyakit, kecuali as-sam, dan as-sam itu mati.” (HR Bukhari & Muslim)

Fakta Ilmiah:
Selama lebih daripada dua ribu tahun, biji jintan hitam telah dikenali dan digunakan sebagai rawatan di banyak negara di TimurTengah dan Timur Jauh. Pada tahun 1959, Dakhakhni dan rakan-rakannya berjaya mengeluarkan Nigellone dari jintan hitam. Jintan hitam mengandungi 40% minyak yang stabil dan 1.4% minyak atsiri. Ia juga mengandungi sekitar lima belas asid amino, protein, kalsium, besi, natrium, dan kalium. Di antara komposisi yang paling efektif adalah Thymoquinone, Dithymoquinone, Thymohydroquinone, dan Thymol.
Sebelum tahun 1986 peranan sebenar jintan hitam dalam meningkatkan imuniti manusia tidak begitu jelas, iaitu ketika Dr Qadhi dan rakan-rakannya memulakan siri penyelidikan di Amerika Syarikat. Setelah itu, banyak kajian yang dilancarkan di berbagai negara. Dr Qadhi membuktikan bahawa penggunaan jintan hitam dapat menguatkan imuniti di mana nisbah T pembantu sel limpa meningkat dengan purata 72% berbanding dengan sel penahan. Juga, ada perkembangan yang cukup besar dalam aktiviti sel pembunuh semulajadi dengan purata 74%.
Keputusan kebanyakan penyelidikan moden menyokong penemuan Dr.Qadhi. Di antaranya adalah hasil kajian yang diterbitkan oleh majalah International Immunity pada bulan Ogos 1995 tentang kesan jintan hitam ke atas sel-sel luaran limpa dan aktiviti sel-sel multi-nucleas darah putih. Pada bulan September 2000, majalah International Immunity juga menerbitkan kajian tentang pengaruh minyak jintan hitam dalam mencegah cytomegalovirus pada tikus makmal. Minyak jintan hitam telah diuji sebagai bahan anti-virus dan imuniti yang diperolehi semasa tahap-tahap awal penyakit ini diukur melalui penentuan sel-sel pembunuh semlajadi dan hal-hal lain.
Pada bulan Oktober 1999, majalah Eropah mengenai Kanser menerbitkan satu artikel tentang pengaruh Thymoquinone pada kanser perut tikus. Demikian juga pada Mei 1998, sebuah majalah khusus dalam kajian pencegahan kanser menerbitkan satu artikel tentang ekstrak jintan hitam sebagai ubat untuk ketumbuhan kanser. Pada April 2000, majalah Ethanol Medical menulis tentang kesan toksik dan kesan imuniti ekstrak etanol yang dihasilkan dari jintan hitam. Juga, pada bulan Februari 1995, majalah Medical Plants menerbitkan sebuah artikel tentang keberkesanan minyak jintan hitam stabil dan Thymoquinone pada sel darah putih. Banyak kajian-kajian lain yang telah menyokong fakta-fakta ini.
Aspek Ketulinan Saintifik
Nabi SAW pernah memberitahu kita bahawa jintan hitam adalah ubat bagi setiap penyakit. Perkataan Arab ‘Syifa’ (ubat) datang tanpa ketentuan penyakitnya yang bermaksud bahawa ia adalah kata tidak terbatas yang merangkumi sebahagian besar penawar/ubat. Ini bermakna bahawa jintan hitam menyumbang kepada penyembuhan setiap penyakit. Secara saintifik telah terbukti bahawa sistem imuniti adalah satu-satunya sistem yang mempunyai kemampuan untuk melawan penyakit dan menghasilkan sel-sel yang membunuh virus.
Melalui kajian dan kerja makmal yang telah dilakukan pada keberkesanan jintan hitam, telah ditemui bahawa ia mengaktifkan imuniti manusia dan meningkatkan pengeluaran sel-sel pembunuh semulajadi, sel-sel penghalang, dan sel-sel pembantu. Ini semua adalah sel-sel limpa yang sangat rumit dan penting. Menurut Dr.Qadhi, pengeluaran sel-sel tersebut meningkat sebanyak 75%. Penemuan tersebut telah disokong oleh kajian yang diterbitkan dalam majalah-majalah lain.
Jintan hitam menyebabkan pertumbuhan sel-sel pembantu limpa, peningkatan interferon dan interleukin 1 dan 2, untuk membantu imuniti sel tersebut menjadi lebih kuat. Semua ini menyebabkan peningkatan kemampuan sistem imuniti untuk melawan dan menghapuskan sel-sel kanser dan virus. Ia juga menyembuhkan saluran schistosomiasis. Berdasarkan fakta-fakta ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa jintan hitam adalah ubat bagi setiap penyakit kerana ia menguatkan sistem imuniti yang bertanggung jawab untuk merawat penyakit dan melawan virus.
Fakta-fakta saintifik yang disebutkan dalam hadis Nabi (SAW) ini adalah jelas. Tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa mengetahui fakta-fakta ini pada empat belas abad yang lalu, kecuali Nabi SAW.

Allah SWT berfirman:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَى . إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى 

Dan tidaklah yang diucapkannya itu menurut hawa nafsunya. Tidak lain adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.(QS An-Najm: 3-4)




Sumber petikan daripada : http://psipum.org/jintan-hitam-habatus-saudah-penyembuh-segala-penyakit/

Tuesday, March 6, 2012

10 Jenis Makanan Anti Kolesterol




Penting untuk kita mengawal paras kolestrol dalam badan kita, kerana kolestrol yang tinggi mampu mengundang pelbagai penyakit bahaya. Dan pastinya sekarang ini ramai yang menghidapi penyakit kerana tidak mengawal pemakanan seharian mereka.
Mengurangkan kolestrol bukan bermakna tidak boleh makan langsung bahkan ada makanan yang mampu bertindak untuk mengawal atau mengurangkan paras kolestrol di dalam badan dan antaranya:
1. SOYA


Kacang soya merupakan makanan popular yang diproses untuk mendapatkan kacang soya, ia mengandungi 48% protein, lesitin, vitamin & zat galian.Ia juga dapat menghidarkan penyakit jantung dan kencing manis. Kaya kalsium dan mineral yang membantu memecah lemak. Ia membantu menyusutkan kadar Lemak jahat (LDL) dan meningkatkan kadar lemak baik (HDL)





2. KUACI




Kuaci mempunyai kandunan zat besi. Pola pemakanan yang rendah dengan zat besi boleh menaikkan kadar kolestrol LDL sekaligus menghadkan kolestrol HDL. Mulakan pengambilan kuaci jenis tawar seperti dari jenis labu atau bunga matahari untuk menambah zat besi serta mengurangkan kolestrol.
3. EPAL



Memakan sebiji epal @ meminum jusnya setiap hari cukup untuk membekalkan khasiat bagi mengurangkan kandungan kolestrol dalam badan. Kanak-kanak yang mengambil makanan segera dan kemudian memakan epal @ meminum jusnya, sebenarnya boleh menyimbangkan kandungan zat dan mencegah berlakunya lemak dalam badan.
4.BUAH BUAHAN KERING



Antara pelbagai jenis buah kering, Limau kering adalah yang paling banyak mengandungi flavanoid. Pengambilannya mampu menyingkirkan lebihan lemak LDL sehingga dapat mengurangkan risiko serangan jantung. Flavanoid juga boleh diperolehi dalam, brokoli, tomato, bawang serta delima.
5. IKAN TUNA

Ianya termasuk sumber asid lemak omega-3 yang popular, selain salamon dan makarel. Omega-3 secara khusus melindungi tubuh daripada peningkatan kadar kolestrol LDL.
6. KACANG TANAH



Kacang tanah yg dipanggang mengandungi lemak sihat dan kaya dengan vitamin E. Ia boleh menghalang radikal bebas agar tidak merosakkan kolesterol LDL dan dapat menghindari tubuh daripada serangan jantung.
7. MANGGA




Terdapat banyak Vitamin C dalam mangga. Sumber lain : belimbing, kedondong, betik, rambutan, strawberi dan kiwi. Vitamin berupaya mencegah kolestrol LDL dalam tubuh.
8. KISMIS


Mengandungi sebatian yang mampu menurunkan kolestrol. Sesiapa yang mengamalkan diet dengan 400 kalori kismis setiap hari boleh menurunkan kadar kolestrol dalam darah sebanyak 8%.
9. OAT




Banyak kajian saintifik yang di jalankan, menunjukkan bahawa pengambilan oat setiap pagi boleh menurunkan kolestrol dalam darah. Serat mudah larut dalam oat boleh mengurangkan risiko penyakit jantung sekiranya dijadikan sebahagian diet rendah lemak dan kolestrol anda.
10. JAMBU BATU


Ia mampu menurunkan paras kolestrol dalam badan sebanyak 18.8%. Disyorkan mengambilnya setiap hari dalam jumlah mencukupi bagi memastikan khasiatnya bertindak balas kepada tubuh. Jumlah yang disyorkan ialah 400gm sehari, iaitu sebiji setengah selama empat minggu. Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan tanpa melupakan diet seimbang, jambu batu adalah pilihan yang sesuai.
Sesekali makan lah makanan anti kolestrol walaupun anda bukan sedang berdiet. Makanan makanan seperti ini mampu membantu mencegah penyakit sekiranya kita mengamalkannya.


Sumber petikan daripada : http://selangor2u.com/blog/2011/04/10-jenis-makanan-anti-kolesterol/

7 Kepentingan Air Terhadap Kesihatan Tubuh Badan


Air sememangnya keperluan di dalam hidupan harian kita. Dan semua orang sudah sedia maklum mengenainya. Dan saya pasti anda pun tahu 70% daripada kandungan badan kita terdiri daripada air bukan? Mari kita ketahui apakah keajaiban air dalam memberi kita kesihatan terhadap tubuh badan.
1. Kekal bentuk badan yang cantik dengan air.
Anda ingin menurunkan berat badan? Air boleh meningkatkan metabolisma badan anda dan membantu untuk anda berasa kenyang.
Tukarkan air manis yang anda sering minum kepada air suam. Juga sebelum makan, minum sedikit air untuk memudahkan anda merasa lebih kenyang dengan cepat. Saya pasti anda juga pernah mengalami perkara yang sama apabila anda makan diselangi dengan air. Anda akan rasa cepat kenyang daripada biasa.
Apabila anda minum air yang sejuk, badan anda akan cuba untuk meningkatkan suhu air tersebut dan ia membantu membakar kalori dalam proses tersebut.
2. Air membantu meningkatkan tenaga anda.
Apabila anda berasa letih dan haus, terus dapatkan air. Ini kerana badan anda mengalami dehidrasi dan ia menyebabkan anda merasa letih.
Terutama sekali ketika anda melakukan senaman mahupun jogging. Tidak perlu tunggu untuk minum air. Segera dapatkan air sekiranya anda berasa haus. Sekiranya anda mempunyai cukup air, jantung anda tidak perlu bersusah payah untuk pam darah anda keseluruh badan.
3. Air mampu mengurangkan stres.
Seperti yang saya sebutkan, 70% hingga 80% badan anda terdiri daripada air. Sama juga seperti otak. Apabila anda mengalami dehidrasi (kekurangan air), badan dan minda anda juga turut stres.
Apabila anda berasa haus sahaja, itu memberikan signal yang anda mengalami dehidrasi.
Untuk memastikan anda kurangkan stres, sediakan segelas air di atas meja dan cuba untuk minum dengan lebih kerap.
4. Bentuk otot anda dengan air.
Minum air membantu mengelakkan kekejangan otot dan melincirkan otot di dalam badan.
Apabila anda minum air dengan cukup, anda mampu melakukan senaman dengan lebih lama dan lebih kuat tanpa perlu bersusah payah.
5. Mencantikkan kulit anda.
Jika anda perasan, terdapat sesetengah orang yang menjadikan minum air sebagai tabiat harian. Contoh terbaik adalah kaum Cina. Jika anda perasan setiap kali mereka ke sekolah, mereka pasti akan membawa satu botol air suam bersama mereka. Tidak kira masa.
Dan apabila diperhatikan kulit muka mereka, kebanyakan  mempunyai kulit muka yang licin dan bersih.
Apabila anda dehidrasi, garisan-garisan halus dan juga kedutan akan menjadi lebih ketara. Dengan kerap meminum air, kulit akan dihidrasikan, menjadikan muka anda nampak lebih muda dan cantik.
Ia juga dapat membersihkan kotoran dan melancarkan peredaran darah dan menjadikan kulit anda lebih bersinar dan bersih.
6. Air melancarkan proses penghadaman.
Selain serat, air juga penting untuk penghadaman. Air membantu melarutkan bahan buangan menjadikan ia mudah untuk dikeluarkan melalui saluran penghadaman.
Apabila anda mengalami dehidrasi, badan anda akan menyerap semua air tersebut dan menyebabkan usus besar anda menjadi kering dan menjadi bertambah sukar untuk anda keluarkan sisa buangan badan.
7. Air mengurangkan pembentukan batu karang.
Kadar pembentukan batu karang semakin bertambah disebabkan ramai yang kurang minum air. Air membantu melarutkan garam dan mineral di dalam air kencing di mana garam mineral tersebut antara bahan yang membentuk kristal dan menyebabkan batu karang.
Batu karang tidak terbentuk dalam keadaan air kencing yang tidak pekat dan cair. Jadi, kurangkan risiko anda dengan minum banyak air!
Adakah anda minum air dengan cukup?
Melalui saranan pakar pemakanan, anda harus minum sekurang-kurangnya 2 liter air setiap hari iaitu bersamaan dengan 8 gelas air. Dan air yang anda minum bukanlah air yang mengandungi gula, tetapi air suam ataupun air mineral.
Sekiranya anda kuat bersenam, keperluan anda untuk minum air juga turut bertambah.

Sumber petikan daripada : http://psipum.org/7-kepentingan-air-terhadap-kesihatan-tubuh-badan/

Monday, March 5, 2012

Bahaya Makanan Segera




  1. Makanan segera sangat tinggi kalori (burger, air bergas dan kentang goreng) dan boleh menyebabkan obesiti
  2. Tinggi sodium iaitu kandungan garam yang melebihi keperluan tubuh. Apabila buah pinggang gagal memproses sodium, ia akan terkumpul di dalam darah dan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi
  3. Tinggi lemak trans (trans fat) yang boleh menyebabkan kolestrol dan munculnya penyakit-penyakit seperti sakit jantung, strok dan diabetes
  4. Makanan segera kurang kandungan sayur dan buah dan boleh mengakibatkan kekurangan nutrien. Ini boleh menyebabkan keletihan dan rendah imunisasi, oleh itu kanak-kanak yang suka makan makanan segera akan mudah diserang batuk dan selsema. Minum kola juga tidak elok untuk wanita kerana boleh merendahkan penyerapan kalsium
  5. Makanan segera juga kurang fiber dan mengakibatkan sistem percernaan tidak teratur
  6. Percaya atau tidak, makanan segera boleh mengakibatkan ketagihan? Makanan tinggi kandungan lemak boleh mengganggu biokimia dalam otak menyebabkan kita selalu teringat-ingat (craving) makanan tersebut. Jika kamu sukar melupakan terus makanan segera, mungkin boleh kurangkannya hanya sekali dalam sebulan. Elakkan makanan segera yang bergoreng (choose grilled chicken rather than fried chicken). Jangan minum air bergas dan elakkan kentang goreng.